Kerjaya Zaleha Hamid

Zaleha Hamid menceburkan diri dalam bidang nyanyian semasa di usia muda lagi. Sebelum muncul sebagai artis solo, Zaleha menganggotai kumpulan kugiran iaitu Orkes Zindegi sebagai penyanyi utama pada era 60an hingga 70an. Beliau telah berjaya mencatat banyak rekod bersama Orkes Zindegi sekitar era 60an hingga 70an sekaligus menjadikan Orkes Zindegi sebagai salah satu kumpulan kugiran yang paling popular pada waktu itu.

Pada era 80an, Zaleha mula bergerak sebagai artis solo dalam bidang seni dengan menyanyikan lagu-lagu berirama pop tradisional dan dangdut sekaligus berjaya menyerlahkan lagi kemampuan vokal beliau dalam menyanyikan lagu-lagu berirama tersebut. Mulai saat itu lah Zaleha dilihat sebagai seorang penyanyi dangdut yang berjaya mencipta nama dalam irama muzik tersebut menerusi lagu Dangdut Reggae.

Pada era 90an, suatu insiden tidak diduga penyanyi dangdut legenda ini telah berlaku dimana semasa beliau melancarkan album studionya yang berjudul Dankdut Bang pada tahun 1993 menimbulkan kontroversi dan terkenal dek kerana menampilkan lagu-lagu yang mempunyai 'lirik dua makna' (lucah) iaitu Keluar Masuk dan Jagung Bakar (duet bersama Salih Yaccob). Selain itu pada tahun 1995, Zaleha muncul lagi dengan satu album studio dangdut susulan daripada kontroversi tersebut yang diberi judul Dankdut Bang Vol. 2. Pihak penerbit album tersebut yang menyedari kontroversi mampu memberikan publisiti yang besar kepada sesuatu produk sekaligus mengambil kesempatan untuk menampilkan lagi lagu-lagu mempunyai 'lirik dua makna' (walaupun sebenarnya tidak) iaitu Sakit Tapi Asyik (duet bersama Salih Yaccob), Takut Tapi Mengasyikkan dan Sini Enak Sana Enak. Tambahan pula, iklan bagi mempromosikan album tersebut jelas menyatakan kesedaran pihak penerbit tentang kontroversi yang mereka cipta sendiri berbunyi "Mengapa mesti kontroversi jika ia sekadar lirik dua makna, kontroversi bukan dicari tapi albumnya yang anda ingin miliki".